Tuesday, November 29, 2011

apa nak soal?

apalah nak disoal?
bila tangan hanya menadah ke langit,
menakung air hujan.
bagaimana hebatnya mereka bermain dengan salji.

apalah nak disoal?
bila orang menulis tentang rasa,
yang tidak kau fahami,
sedang tulisan, cakaran cuma disorok.

apalah nak disoal?
cepat dan lambatnya pernikahanmu,
bila belum cukup rukun,
banding dengan rezeki orang.

apalah nak disoal?
banyaknya budi diberi pada orang,
dari hati yang separa mahu,
dengan ucap terima kasih atau cuma jelingan.

apalah nak disoal?
pada janji dan takdir yang atas,
dengan perancangan yang pincang.
dek kerana hujan, guruh dan kilat petang tadi.


tentang rasa bersyukur yang jarang singgah,
bila melihat lebih orang, 
dan mengira kurang sendiri.
sedangkan, sudah cukup bernasib baik,
hari ini punya apa yang ada.

yang indah

mungkin nanti-
--tiada puisi dari awak
--tiada petikan gitar akustik
--tiada bujuk rayu di saat rajuk
--tiada kata-kata romantis di malam terang bulan

kerana awalnya nanti-
--tiada sambal tempe sesedap dimasak emak
--tiada ruang tamu secantik ikea
--tiada halaman dengan pokok bunga mekar
--tiada sempurna seorang wanita idaman

waktu sekarang-
--awak ada ragam, saya ada perangai
--saya ada tulisan, awak ada suara
--seorang salah, seorang betulkan

ketika ini-
kita merangka,
kita merancang,
kita berangan,
kita bercerita
tentang esok,
tentang mendatang.

dan cukuplah,
indah begitu.

Friday, November 25, 2011

bualan


ada satu masa kau lelah
esok-esok aku pula yang lemah
tapi tak pernah lagi sampai benci
kerana aku terlalu tidak mahu rasa benci
sama juga dengan engkau

cerita kita lama dulu dah banyak berbuku
sampai nak meluah kongsi pun naik malas
kerana?
kerana membuka buku lama ibarat mencurah asid
sakitnya berhari-hari--
--bagi aku
kurang sedikit untuk engkau
kerana waktu lebih lama mendodoi engkau

apalah nak ditanya tentang masa depan?
di bila hari ini kita senyum
walau kadang rasanya tawar

apalah nak digusar lagi tentang orang?
dulu kata kau.
maka aku layankan saja

cuma kadang-kadang tengah malam,
tengah hari buta,
awal pagi, aku selalu diasak
buku lama terbuka
cerita lama singgah
dan kemudian satu hari kemudian
aku rasa hendak terjun dalam laut
baring atas pasir pantai
tarik engkau duduk sama
kita renung langit
dan diam sampai hati kita berbicara sesama mereka
mulut kita katup

komplikasi normal


setiap pagi dia tunggu
setiap malam dia termanggu
sama seperti selalu
dia cuma mahu yang itu

menjadi pemimpi harus gagah
menjadi tukang angan harus tabah
sebab realiti selalu bikin lemah
selalu banyak melapah
sudah banyak kali parah
sudah acapkali dimarah

kilat bilang jangan beri semua
manakan hujan mahu mendengar
kalau sudah angin yang dikejarnya dalam setiap basah
maka bersabung semuanya dalam hiruk pikuk
dalam hati
kompleks

menang


janjinya mudah
beritahu dan tanya
tapi bahasanya payah
maka selalu bertelingkah

bergaduh dalam diam
rajuk dalam bisu
manalah nak jumpa
apa yang dimahu
kalau terpisahnya jauh pluto dan utarid

ada jiwa yang lelah
ada jiwa yang bernanah
tapi masih nak gagah
masih tak mahu kalah