Monday, December 22, 2014

Kanji Janji

Dibilang usah janji
Tetap mahu janji
Diberi janji bulan dan bintang
Habisnya habuk pun tak jelang

Diminta dimulia-mulia
Diraja-raja

Hatta mahu bersusun jari menyusun bibir
Mengait maaf pun kan payah

Jauh sekali menjula julikan perempuan
Itu
Yang bersujud
Di tangga atas rumah
Kosong yang cuma
Ada janji janji

Keras kalah kanji

Sampai bila

Sampai kapanpun ini takkan pernah berakhir
Tunding jari ke langit,
Ke depan, ke kiri dan ke kanan
Tetap ujungnya kau juga yang salah

Buang habis sampai lelah
Sampai masa nafas berhembus tanpa jiwa
Maka baru mahu dibalut luka yang terlihat

Buang semua semata buang
Sebab sayang memang murah 

Kutip dari tepi
Mahu ambil
Tak mahu lempar

Friday, August 1, 2014

syawal

hati patah
tahun ini tangan yang dikucup sudah bertukar
jauh rasa
dari semua yang biasa

senyum segaris
mulut sudah terkatup rapat
soalan dan kerlingan mata masih sama
skeptikal seperti rezeki itu milik kita cuma

syawal tahun ini
senyum tetap segaris
biar hatiku patah

Tuesday, June 11, 2013

pilihan

lentang buka semua isi hati
cuma untuk diketawakan dunia
simpan peram rasa ini
cuma untuk melihat kekasih pergi

semua
dipanggil pilihan

Friday, May 31, 2013

aftermath

jauh mata berterbangan
melintas semua padang jingga
awan indigo
laut merah

mencari satu
mencari dua
mencari barang kan ada
ketengangan

selepas semua ribut puting beliung
dan segala yang nyata berantakan.

Friday, May 17, 2013

kitaran

dia datang,
seperti angin menyusup malam.

dengan bertutup litup,
dengan warna kebanggaan hitam mu.

perempuan itu sudah datang
menuntut lelakinya dari perempuan tumpangan
untuk meneruskan persenyawaan yang pernah terbantut

dia datang,
sama seperti tahun-tahun lalu
di kala musim kontang sudah berganti musim basah
yang selepas ini akan datang musim bunga yang cantik

dia datang,
semata mengutip apa yang sudah elok
dan mahu dijadikan milik kekalnya

biar kali ini sampai kiamat
bukan sekadar menunggu satu kitaran lagi.

Saturday, February 16, 2013

terbang pergi

terbang sana, bawalah semua.
apa yang tertinggal sini cuma duka,
esok lusa memang tiada
untuk semua, untuk kita
janjilah semula,
bina sana rumah, kemudian istana,

jangan pernah toleh semula
sini takkan ada apa
cuma saya, bukan dia
yang semata buta
dek cinta

Saturday, February 2, 2013

nanti

banyak waktu sudah aku habiskan menanti--
kamu yang entahkan bila pasti,
mahu menongkah pagi,
mencari jalan mula langkah pergi,
dari sebuah memori.

Sunday, January 13, 2013

between

bangun pagi tadi,
mata basah.
hati parah. sedih.

awak tak ada.
dah kat sana.

saya bangun, cuma untuk terus.
hidup sehabis boleh.
sebelum sampai waktu kita
untuk berjumpa lagi.

sebab awak kata,
kita terpisah dek garis nipis,

between life and death.

Friday, January 11, 2013

itu

bintang mana lagi yang kau kejar kini?
bulan mana lagi yang kau cari-cari?

semalam semua sudah pergi
berlalu yang tak mungkin balik lagi
macam selalu kau sendiri
menangis malam ke pagi

sedang aku,
sedang berteleku
di tepi tangga batu
menyaksikan situasi itu


Tuesday, January 1, 2013

wonderland

i wonder what's next
i wonder where, then
i wonder will you or either me whom starts first
i wonder a lot
now and then

so today, i will stop to wonder
i live the moment instead.
i will live it like there's nothing to wonder

at all.

Monday, December 24, 2012

pelangi

berapa kalipun, kau tetap tadah.
siang dan malam kau letak melangit.
dia tertinggi, dia teragung.

sekalipun setiap malam,
yang, meringkuk sampai basah tilam, kamu seorang.

sayang, kamu bukan perempuan pertama yang menderita
dek cinta.
tapi,
di setiap saat, kamu memegang sendiri guntingnya,
demi memutus tali yang mengikat, merantai.
guntinglah, dan mari ke sini.

mari lah menghadap dunia pelangi.

Tuesday, November 6, 2012

masked

aku suka topeng
buat tutup muka
buat bantu aku
menghadap dunia yang; -
--memalukan
--menggemuruhkan
--menakutkan

buat si pemantau,
usah buang masa.
aku sudah lupa rupa sebenar.

topeng sudah bersilih ganti
silap-silap aku sudah terbuang wajah sendiri.

gapai pulang

aku sedang hanyut
hampir lemas
berenang, semput

seperti arus ini memenangi
kudrat habis
dan aku berserah

terapung, maka nyawa tinggal.
tenggelam, maka temukanlah aku;
dengan sisa syurga

layak taraf aku sudah semakin pudar
malu sememangnya lama sudah menebal
untuk menadah memohon

tapi orang bilang Kau itu mendengar
dan Kau paling suka hamba meminta
apa aku layak Ya Tuhan?
untuk mohon digapai pulang?

Tuesday, October 30, 2012

jantung mati

jantung ini pernah bernyawa,
kemudian mati.
lantas dipasung, dijinjit pulang,
ke desa berumah ia.
ditampal, disapu segala akar daun
biar sembuh, biar kuat.

kemudian lepas bebas semula,
masuk ke belantara,
ditembak, dipanah,
mati.

lalu diulang semula.
setiap yang atas tadi.

siapa yang baik hati?
yang membawa pulang jantung ke rumah aman tadi?

cuma Sang Pencipta,
yang kasihnya abadi.
sampai berkali mati,
pun tetap tak sedar diri.

Friday, October 12, 2012

pergi

jejak langkah pergi
sebelum semboyan berbunyi
setiap awal pagi
hilang bersama mimpi
bersama kucupan di pipi
kau minta jangan dinanti
sampai ke dinihari
seperti entiti
pergi dan tak kembali

Thursday, September 27, 2012

bodoh

nah, ambil jiwa aku, ratah
nah, ambil nyawa aku, mamah
nah, ambil hati aku, patahkan.

ambil setiap yang kau mahu
selagi sempat
selagi ada

sebelum esok aku pula
datang menghunus taming sari
dipinjamkan hang tuah
menyiat setiap sisa hati-
-engkau yang tak pernah reti

betapa setiap aku tadahkan ini
cuma mahu bikin kamu bahagia

dan tidak lagi tersiat-siat
dibodoh-bodohkan cinta jiwa kamu

bodoh!

September 26, 2012;10:49
selesai menulis ini, aku sedar semuanya sia-sia.
yang bodoh, jadinya aku sendiri

Tuesday, September 11, 2012

semadi

seperti misteri malam
hilang tanpa sekutik bunyi

dan muncul di lewat petang ini
khabar sinarmu padam
memaksa kotak-kota ingatan dibuka semula

dan yang sempat aku ingat
suara kamu yang selalu mengundang lucu
iya kamu teman yang lucu
yang selalu menghiburkan
walau kadang suara bingitmu
lebih memekakkan dari meramaikan

di lewat petang ini
ketika sinar suara kamu yang menghiburkan
dipulang pada Penciptamu
aku iringi sepotong doa

dari seorang teman lama,
bersemadilah dengan aman
moga Jannah menjadi rumahmu nanti


al-fatihah utk Nurul Syafikah,
chicky. samura. bestari. batch 22.
Disember 26, 1988 -  September 11, 2012

Sunday, August 26, 2012

amarah

dibilang hari-hari yang berlalu
disetarakan setiap yang dilaku
manakan sama manakan sekufu

jelas juntai-juntai
antara setiap rangkai
adalah perca-perca berkecai
dari persoalan yang tak pernah berungkai

setiap malam
dari langit yang berbalam-balam
kata dan rasa saling bersulam
memupuk rasa yang terpendam
sedikit bertukar menjadi dendam

entah bila akan tiba
susu tak lagi dituba
atau amarah tak datang mencuba

Monday, August 13, 2012

dewiarjuna

ke padang hijau
ke langit biru
ke pelangi ungu
ke bintang merah
ke-
mana sajapun,

pimpinlah aku,
bukan dek sebab aku tak berdaya berlari bersama.

tapi kerana,
aku ingin menjadi sang dewi di hati arjuna ini.

Tuesday, August 7, 2012

Nuzul

tak keruan saya siang malam tanpa awak
tak tentu jalan bangun duduk baring bila tanpa awak
tak tahu arah saya tanpa awak
setiap patah kata perkataan awak begitu dalam maknanya

setiap petunjuk yang awak kirim dari setiap huruf yang terbaca,
begitu mendamaikan
sesiapapun yang menyentuh awak
yang membelek awak
pasti terpukau
pasti terpegun

kadang-kadang berbulan lama awak terbiar tak bertuan
jadi dalam sebulan ini,
sudikanlah sentuhan tangan kasar saya
sudikanlah mendengar alunan suara saya melagukan setiap huruf di dada awak
sudikanlah kiranya awak memberi cahaya ke dalam hati kelam saya

semoga terus awak menjadi teman saya
sudikanlah memanggil di kala saya leka dengan duniawi

Nuzul Quran- 17 Ramadhan 1433H

Monday, August 6, 2012

obsesi

bila yang saya suka saya takut nak khabar,
tapi bila yang awak suka, saya ikut suka,

namakan itu obsesi.