Thursday, September 27, 2012

bodoh

nah, ambil jiwa aku, ratah
nah, ambil nyawa aku, mamah
nah, ambil hati aku, patahkan.

ambil setiap yang kau mahu
selagi sempat
selagi ada

sebelum esok aku pula
datang menghunus taming sari
dipinjamkan hang tuah
menyiat setiap sisa hati-
-engkau yang tak pernah reti

betapa setiap aku tadahkan ini
cuma mahu bikin kamu bahagia

dan tidak lagi tersiat-siat
dibodoh-bodohkan cinta jiwa kamu

bodoh!

September 26, 2012;10:49
selesai menulis ini, aku sedar semuanya sia-sia.
yang bodoh, jadinya aku sendiri

Tuesday, September 11, 2012

semadi

seperti misteri malam
hilang tanpa sekutik bunyi

dan muncul di lewat petang ini
khabar sinarmu padam
memaksa kotak-kota ingatan dibuka semula

dan yang sempat aku ingat
suara kamu yang selalu mengundang lucu
iya kamu teman yang lucu
yang selalu menghiburkan
walau kadang suara bingitmu
lebih memekakkan dari meramaikan

di lewat petang ini
ketika sinar suara kamu yang menghiburkan
dipulang pada Penciptamu
aku iringi sepotong doa

dari seorang teman lama,
bersemadilah dengan aman
moga Jannah menjadi rumahmu nanti


al-fatihah utk Nurul Syafikah,
chicky. samura. bestari. batch 22.
Disember 26, 1988 -  September 11, 2012

Sunday, August 26, 2012

amarah

dibilang hari-hari yang berlalu
disetarakan setiap yang dilaku
manakan sama manakan sekufu

jelas juntai-juntai
antara setiap rangkai
adalah perca-perca berkecai
dari persoalan yang tak pernah berungkai

setiap malam
dari langit yang berbalam-balam
kata dan rasa saling bersulam
memupuk rasa yang terpendam
sedikit bertukar menjadi dendam

entah bila akan tiba
susu tak lagi dituba
atau amarah tak datang mencuba

Monday, August 13, 2012

dewiarjuna

ke padang hijau
ke langit biru
ke pelangi ungu
ke bintang merah
ke-
mana sajapun,

pimpinlah aku,
bukan dek sebab aku tak berdaya berlari bersama.

tapi kerana,
aku ingin menjadi sang dewi di hati arjuna ini.

Tuesday, August 7, 2012

Nuzul

tak keruan saya siang malam tanpa awak
tak tentu jalan bangun duduk baring bila tanpa awak
tak tahu arah saya tanpa awak
setiap patah kata perkataan awak begitu dalam maknanya

setiap petunjuk yang awak kirim dari setiap huruf yang terbaca,
begitu mendamaikan
sesiapapun yang menyentuh awak
yang membelek awak
pasti terpukau
pasti terpegun

kadang-kadang berbulan lama awak terbiar tak bertuan
jadi dalam sebulan ini,
sudikanlah sentuhan tangan kasar saya
sudikanlah mendengar alunan suara saya melagukan setiap huruf di dada awak
sudikanlah kiranya awak memberi cahaya ke dalam hati kelam saya

semoga terus awak menjadi teman saya
sudikanlah memanggil di kala saya leka dengan duniawi

Nuzul Quran- 17 Ramadhan 1433H

Monday, August 6, 2012

obsesi

bila yang saya suka saya takut nak khabar,
tapi bila yang awak suka, saya ikut suka,

namakan itu obsesi.

Monday, July 30, 2012

skrip filem

sampai mana janji manis kamu?
bila cuma keluar dari bibir meruap dek udara dingin.
kemudian keluar lagi yang baru.
umpama rasa tiada bersentuh

sampai satu saat nanti, cerita kita akan habis,
seperti tamat kontrak satu penulisan skrip filem.

Friday, July 6, 2012

kadang-kadang

kadang-kadang;
saya bangun pagi dan lupa
apa misi hidup saya

kadang-kadang;
sebelum malam awak datang
beri peringatan

kadang-kadang;
saya habis nafas
meneruskan hidup di tengah hari buta

kadang-kadang;
sebelum asar awak datang
beri ruang berudara

kadang-kadang;
bila malam saya jadi hilang
tak nampak dalam gelap

banyak masa;
awak biar saya meneroka,
sebab awak rasa galaksi ini ada ilmu
untuk saya yang-
kadang-kadang;
buta.

Wednesday, June 6, 2012

cinta

beri hati, sudah
beri jiwa, sudah
beri kasih, sudah
beri semuanya, sudah.

jadi duduk, nikmati.
cinta yang kadang cuma awak seorang yang beri.

Friday, June 1, 2012

tak mampu

berapa lagi yang tinggal bila
satu hari satu kau beri?
berapa lagi yang tinggal
bila semuanya untuk kamu?

dari 365 ditolak satu persatu
sampai habis tinggal cuma satu
cuma satu hari
untuk kau dan aku
itu pun tak mampu

tak kena


Berdiri, aku tak mampu
Duduk, aku lemah,
Berbaring, aku kejung.

Seperti segenap jiwa terbang
Seperti malam tadi aku tergantung di hujung tebing
Dan hari ini aku sedang melayang melawan graviti
Belum tahu dudukku di mana
Belum tahu jatuhku di mana

Berdiri, aku tak mampu
Duduk, aku lemah
Berbaring, aku kejung.

Wednesday, May 9, 2012

serabut-

keliru membalut malam meragut damai lenaku
mencari segenap ruang yang bisa ditembus
menerobos terus dalam mimpi-mimpi kosong

diasak diperosok
setiap sosok tubuh diratah rakus
dibawa pergi jauh dari realiti
ke fantasi ngeri

akan datang dan tiba hari
fantasi dan realiti terpisah
cuma semili meter
seluas beberapa kaki persegi

Tuesday, May 8, 2012

tanya

kenapa awak datang,
kemudian awak pergi?

kenapa awak pinjam,
kemudian awak tak kembali?

kenapa awak suka,
di kala saya benci?

kenapa dulu senyum,
kini berselisih pun tak mahu?

kenapa?
kenapa?

tanya takkan habis.

Saturday, May 5, 2012

janji

malam ini bulan terang
malam ini kita janji tengok bintang
malam ini kita akan jumpa di tempat yang sama

janji tetap janji
yang tunggu tetap aku
yang kecewa itu adalah janji yang tertipu
malam habis cuma dengan bisu

esok datang
matahari terang
kamar dan ruang silau
dek sinar kemilau
tak ada lagi yang sasau

Thursday, May 3, 2012

senyum saja.

cepat-cepat masa sudah hampir hujung,
cepat-cepat, jiwa suda habis mati
cepat-cepat, nyawa sudah hampir lelah.

bila semua habis?
bila semua mencecah kerak bumi?
bila malam berganti siang?
bila semua menanti kiamat.

kejar-kejar.
pasang-pasang.
remuk redam.
habis, senyum.

Wednesday, May 2, 2012

the charmed ones

aku sedang menikmati cuti sempena hari buruh,
yang pertama untuk seorang pekerja,
bagi aku.

sambil masa diisi,
berteman komputer riba,
menayang siaran charmed ones yang aku gemari.

memori membelek muka lepas...

hari rabu,
jam 10.30 malam selepas seekers,
aku akan lari ke naik ke bilik,
jauh dari dunia luar,
dan switched on tv kecil,
siaran ntv7.

siaran yang sama berteman bulan,
menanti hari khamis.

rutin yang saban sama,
setiap minggu,
tanpa jemu.

malam ini, selepas hujan,
bulan tak lagi meneman aku menonton charmed ones,
cuma petang tadi ada matahari petang,
yang sempat menjengah,
sebelum malam gelap dan hujan meneman.

lagi enam episod akan habis.
bulan tak juga datang,
malam tetap gelap.
matahari juga dah lama tak ucap selamat.

tapi charmed ones ada lai tujuh seasons nak dikejar.


malam melankoli. 
one by one, walking down a memory lane.
1 may 2012, tengah malam.
wangsa maju.

Wednesday, April 18, 2012

pecah

pecah semua empangan air jiwa saya
kerana melihat awak yang tidak berdaya
jauh di suatu suasana
yang nan tak tergapai dek tangan saya

pecah semua empangan air jiwa saya
di suatu pagi yang hening di bumi saya
awak sedang berlumur darah saudara sedarah
bertarung menjaga bumi tercinta

pecah semua empangan air jiwa saya
mengenang cuma doa yang saya kirim saban ingatan datang
semoga Tuhan pelihara awak
serta saudara seagama saya yang lain
di tengah metropolitan ini
di tengah keramaian manusia yang sungguh jarang menilai erti aman
di celah deraian hujan petang ini
semoga perjuangan yang kita depankan
membawa perkumpulan kita di sana

pecah semua empangan air jiwa saya
petang ini.

hujan lebat, aku takut dengar bunyi guruh dan
gerun melihat panahan kilat
kemudian tersedar
ini cuma hujan air,
di sana hujan peluru, banjirnya darah.
Palestin, ini ingatan aku.
Damansara Perdana

Monday, April 16, 2012

pemerhati

jadi pemerhati harus diam diri
jangan berbunyi
jangan berdecit sekalipun

jadi pemerhati harus bijak menilai
kiri dan kanan
harus di dengar
bukan hentam keromo ikut kata hati

jadi pemerhati
biasanya
terbelah bahagi
kiri atau kanan
depan atau belakang
alih-alih sendiri mati

jadi pemerhati,
elok jadi pemikir tegar

aku bukan pemerhati

perempuan dan sunyi dia


perempuan
yang sedang ketawa dan berhenti sebelum sempat
sedang bersembunyi
di balik setiap suara ketawanya
akan beban
dan perasaan dia

perempuan
yang diapit beratus manusia
yang turut sama ketawa dalam jenaka tercipta
sedang menyorok rindu dia
dan rasa-rasa kecewa pada hidup realiti
punya dia

perempuan
dan suara puisi dia
bernyanyi apa lagu yang bermelodi tak berlirik
bernada sedih tak berbunyi
tentang sunyi dia
yang terasing

perempuan itu
dan sunyi dia
sudah habis berserah
dan mengalah
dari berfikir
lalu pasrah
dengan sunyi dia

muka buku, April ke-14, 2012, 00:48

Monday, April 9, 2012

gasak

bila sudah terlalu resah, gasak.
terlalu penat, gasak.
terlalu payah, gasak.
biar semua beralun sendiri, mengikut guruh dan kilat.

pinta lembut, sudah,
pinta kasar, nah, terus menyahjauh.
mahu pinta lupa terus, ah sudahlah!

iya mungkin, harus dari dulu.
tapi yang dipilih meniti benang halus.
sampai kaki berbirat-birat.
sampai hati tersiat-siat.
sudahnya, jalannya sama.

gasaklah!

sudah tiada daya.

Friday, April 6, 2012

antara masa.

apa ada dengan kenangan?
manis. pahit.
apa ada dengan masa depan?
takut. teruja.
apa ada dengan di antaranya?
kehidupan.

selebihnya, kuasa Dia.

Thursday, March 29, 2012

lelakiperempuanmalam

malam gila itu
milik orang gila seperti mereka
yang merdah pekat malam,
mencari apakah ada ruang kosong yang mampu
setiap mereka penuhkan
demi untuk kekosongan yang dirasa setiap dari jiwa
dalam renung mata yang sekejap itu
si lelaki sudah tidak nampak mata hitam perempuan itu
yang sudah tidak bersinar seperti biasa
mata hitam nya sehitam pekat malam
tidak berasa apa terhadap lelaki itu yang sudah buta
lantas tanpa disedari, lelaki itu hanya berkongsi curahan rasa ke daun keladi
terus jatuh ke bumi
tak ada rasa indah langsung di hati perempuan
tak ada rasa damai langsung di hati perempuan
perempuan sudah buang lelaki jauh di balik sampah sarap kehidupan lampau
dan atas rasa simpati dah mengerti
kepura-puraan mampu dijadikan realiti
dan kesilapan itu adalah sesuatu yang ternampak.