Thursday, October 28, 2010

mimpi; fantasi @ realiti

karena kita tak pernah pasti apa di depan,
maka setiap hari adalah hari untuk kita berangan,
merancang, bermimpikan yang indah,
merangka yang fantasi.

sampai kita penat dan lelah.
sampai kita nampak realiti.
dan banyak mimpi akan cuma mati.

Wednesday, October 27, 2010

a little note,

i am far from the eyes, not the heart
i am sometimes being so selfish, that i am not leaving u to be part
i am someone who u met, with a broken heart
i am just a girl, not beauty and fat

all days are the moment i waited the most
i could even hold onto myself from being frost
waiting for you inside mist
and nothing i could missed.

March 29, '10

Saturday, October 16, 2010

aku tak peduli

gamitkan setiapnya
dengan cerita-cerita yang kau rasakan indah
supaya semuanya membelah terus
supaya semua anganku mati terbakar
hangus
rentung

yang engkau sentiasa lihat dengan mata jelas
adalah titik hitam yang pernah bertanda
dan setiap anjakan kehidupan aku
sesungguhnya tiada makna
untuk engkau

dan aku tak peduli

ke neraka jahanam pun,
tak akan aku peduli.

Monday, October 11, 2010

bual kosong

apa ada pada kata-kata?
apa ada pada bisik-bisik?
apa lagi mahu dengan ada,
bila semua hanya meracik.

Tuesday, October 5, 2010

aku ada

dalam setiap titis gerimis itu, aku ada.
dalam setiap jalur pelangi itu, aku ada.
dalam setiap denyut nadimu, aku ada.
dalam setiap hela nafasmu, aku ada.

aku ada. di saat mana kamu mahu aku ada.

dan keberadaan aku, adakalanya sekadar ada.

Wednesday, September 1, 2010

selamat datang hari-hari

tidak akan ada aman yang mudah-mudah kau dapatkan dari siang atau malam. tidak akan ada makna-makna kehidupan yang kau definasikan sempurnanya kerana kau cuma mahukan itu. segala sesuatu yang telah cuba aku, kau; nama lainnya kita cuba dapatkan adalah bukan di atas kuasa kita menentukan pemilikannya. kisah, cerita, plot-plot cerita antara kita berbeza-beza. dan indahnya ada kalau mata kita mahu melihatnya barang sedikit. kenikmatan itu adalah atas definasi yang kita letakkan bila mana kita mahukan langit yang tak akan tercapai oleh tangan, maka bercukuplah kalau kita berjaya capaikan cucur atap rumah. kita adalah manusia yang tak akan pernah puas dengan apa yang kita ada di depan mata, kerana kita selalunya buta dalam celik. setiap liku dan payah yang kita lalui adalah ujian yang telah dituliskan sejak sekian lama sebelum kewujudan kita sebagai embrio di dalam uterus ibu. cuma seperti biasa, setiap ketidakdapatan itu akan kita tunjalkan ke muka-muka yang tersempat kita salahkan. salahkan takdir, salahkan waktu, salahkan teman-teman dan lebih dari itu, salahkan Tuhan.

kita akan mula untuk terkutik menadah tangan bersyukur, meminta bila kita kehilangan. kehilangan aman, tenang, cinta, perhatian, wang, apa saja materi yang kita namakan bahagia. itu, sememangnya norma kita.

dan bila ada waktu-waktu tersedar. cukupkanlah dengan apa yang ada tanpa perlu pertikaikan yang mana lebih, yang mana kurang. secukupnya apa yang kita ada. kerana, kadang-kadang, Tuhan cuma mahu memberi sedikit hari ini untuk esok yang lebih. dan lebih hari ini, untuk esok yang akan tercatu. dacing adil, bukan layaknya kita orang-orang biasa yang kononnya kuat; tapi sebenarnya lemah; mengatur.

selamat datang setiap hari.

biar apapun yang jadi, semoga kita terus berani.

berdiri bila jatuh. berlari bila mampu. terbang di kelajuan cahaya dan

berhenti apabila penat.


utara semenanjung

ramadhan

Friday, August 6, 2010

setiap, sudah

setiap ucapan terima kasih,
setiap pelukan erat,
setiap senyuman segaris,
setiap satunya yang diberi hari ini,

supaya esok kalau sudah tak ada kesempatan,
setidaknya untuk hari ini, sudah.

Tuesday, August 3, 2010

tembok-tembok roman

aku binakan tembok-tembok roman ini
menjauhkan antara kita
biar tak ada yang menjangkau
biar tak ada yang mendapat
biar antara kita jauh
biar dari ketinggian ini
akan aku bisa melihat pantai damai
akan aku bisa menghirup bayu laut
akan aku bisa mendengar lagu ombak
akan aku bisa merenung terus ke biru air-nya

aku biarkan engkau bersama kuda-kuda mu
memalingkan dari keintiman biasa
biar tak terhantar aroma-aroma biasa antara kita
biar buat seketika kita bernafas
biar buat sekejap kita adalah siapa kita

aku binakan tembok-tembok roman ini
sebagai escapism

pilihan akhir.

rindukan ruang sempit yang sendiri

Saturday, July 31, 2010

ketika

ketika semua sedang asyik meruntuhkan benteng di tepi sungai nil
tembok-tembok roman sedang terbina
meninggi, menguat
biar tak ada yang menembus masuk

ketika engkau lihat matahari dengan sinaran teriknya
di balik awan itu adalah hujan yang menangis
menyembunyi di balik gunung-ganang

ketika tidur malam-malam mereka lena
ada jaga menghadap ngeri
berdepan sama realiti dan fantasi
sekali gus

ketika membaca ini
jangan sangka kenal
jangan cuba

Thursday, July 29, 2010

kalaulah

mulut-mulut munggil yang bisu
dari segaris dua senyum
di tengah hingar pesta
bersama mata yang membuta
yang tak melihat bintang angkasa
bisu, buta

ada angin menderu
perlahan tapi melayangkan
bahasa-bahasa sayang yang hilang
rasa hati sememangnya pembunuh
dan penawar
dalam diam

luka-luka menyembuh
luka lain berdarah
ketamakan rasa dan kepuasan diri
kalaulah
kalaulah
kalaulah

kalaulah takdir itu di tangan sekarang

12:40
dragon & phoenix
orang kecil - wani ardy in loop mode
arau, perlis.

Tuesday, July 27, 2010

biar

biar jangan datang.
biar jangan cari.
biar jangan kejar.
apa tertulis, akan menjadi milik hakiki.
apa yang tidak, akan terbang merentas pelangi.
noktah.

Saturday, July 24, 2010

pertama kali

untuk setiapnya akan ada kali pertama.
yang paling pahit.
yang paling sukar.
yang paling menguji.

yang tertinggal cuma bayang senyum.
cuma sedikit haruman dari wangian yang biasa awak guna.
cuma seapa ada yang sempat saya ambil tadi.

orang kata, selalunya cuma awalan begini.
saya harap, biar sampai ke hujung kita begini.

memohon dilengkapi.
menadah doa biar selalu dilingkungi begini.
tak apa kita tak senang selalu.
tak apa kita berjauh beribu batu.
biar yang mengikat itu kuat.

untuk pertama kalinya,
berjauh.

dan mata akan kejam untuk tidak lena.
hati akan gusar untuk memikir hari esok.
semoga matahari dan bulan tidak memanjangkan hari kita.

Thursday, July 22, 2010

engkau

bila siang mendatang, kita minta dicepatkan ke malam.
dan setiap senggangnya,
adalah masa untuk bulan dan langit malam.
Luna dan Greysky.

setiap terik siangnya akan kita redah.
biar kulit dan isinya terbakar sehingga kemerahan.
mengejar matahari sebelum benamnya
yang kita saksikan di tepi pantai.

tentang hujan yang baru kau kenali indahnya.
tentang awan yang baru kau sedari cantiknya.
tentang malam yang baru kau nampak dinginya.
semuanya yang kita baru-baru kongsikan.
adalah semata untuk membiar aku melihat senyum.
biar segaris di wajah engkau.

Tuesday, July 20, 2010

hujan

kerlipan mata yang memandang satu persatu
pandangan yang jatuh pada sudut demi sudut
bisik-bisik menghasut
adalah semata menambah minyak ke api
yang padam marak menyala kembali
adalah sesuatu yang cuba ditepis keras
supaya setiap marah yang berbara dihapus segera
biar setiap dibasahkan dengan hujan
yang tenang
yang aman.

Sunday, July 18, 2010

setiap II

aku cium bau hujan di luar
aku dengar jatuhan titis-titisnya ke tanah
aku melihat mendung yang dibawa bersama

aku dengarkan suara di telinga
menyanyikan lagu, membunyikan melodi

dan menghantar rasa yang sama
setiap kali pun.
setiap kali pun.

Wednesday, July 14, 2010

dia

macam terpujuk, macam merajuk.
angin dan beliung sama satu pun tak surut.
selepas beberapa waktu, aku cuma harap, masa itu dibekukan.
cuma untuk aku menatap senyum dia.
mendengar ketawa dia.
melayan celoteh dia.
dan walaupun cuma menikmati satu dari dua puluh empat jam sehari,
dengan dia, aku mahu.

Thursday, July 8, 2010

di

di waktu aku paling perlu mengesak,
di mana kamu?
di petang aku paling serabut,
di mana kamu?
di senja paling merah yang hilang serinya,
di mana kamu?
di ketika paling mengasak begini,
di mana kamu?

di mana kamu yang berjanji?

Wednesday, July 7, 2010

pagi lagi

semalam di sebalik bantal merah
yang melindung esak ketakutan
lelap kedua mata
dalam air jiwa yang penuh
mengharap mimpi fantasi menjelang
meneman malam yang panjang sehingga subuh
dan setelah mata terbuka
yang kelihatan jelas dari jendela
dengan buaian angin menebarkan kain putih digantung
adalah satu lagi realiti hari-hari
di dalam bilik kecil sempit
dan berbau lavender

air liur yang masih berbaki di ruang tekak
ditelan dengan rasa pahit bercampur apa saja
hari ini,
walau celaka
tetap harus didepankan.

Tuesday, July 6, 2010

tiga

(i)
bila pilih untuk diam
kadang lagi molek dari segala
sebenarnya mahu memupuk aman
mengurang apa barang gelombang badai

(ii)
selalu pilih untuk lari
bukan atas dasar pengecut akan api
sekadar mahu sembunyi
barang sekejap di perut bumi

(iii)
dalam air
atas awan
celah batu
ada situ

Monday, July 5, 2010

serangkap mati

berasak-asak menerpa seluruh rongganya
menelan mati semua yang bernyawa
meredah hujan ribut
menongkah segala arus
cuma untuk naik sedikit ke permukaan
menyedut sedikit udara
dari kematian yang abadi
sebelum masa yang termaktub

Saturday, June 26, 2010

tujuh

titis air mata
hancur segala yang ada di jiwa
masih berbekas
masih basah di ingatan

dan setiap pertemuan empat mata itu
akan dihabis dengan air mata lagi
dengan rasa salah lagi

pisahkan lah wahai tujuh lautan,
ceraikan lah wahai tujuh langit,
asingkan lah wahai tujuh benua.
aku dari kenangan semalam.


Friday, June 11, 2010

jarum-jarum jam

jarum-jarum jam terus menerus berdetik
memecah sunyi malam
meneman di celah sepi
adakala nuansa romansa
cumalah khayalan semata-mata

jarum-jarum jam akan terus berdetik
meneman malam sepi
mencelah di pagi sunyi

terus
detik
sampai
kiamat